Puteri Dhiya Sumayyah

By: Adawiah Danial

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
[<<  <  1  2  3  [4]  5  6  7  8  9  >  >>]    [Archive]
Tuesday, 7-Aug-2007 04:34 Email | Share | | Bookmark
Majlis Tilawah Al-Quran Saudara Kita 2007

 
 
 
View all 22 photos...
All pics credit to: http://minaq-jinggo.fotopages.com

Saudara baru bukti kemampuan
Oleh Hasliza Hassan

MAJLIS Tilawah al-Quran bukan tempat untuk bertanding menunjuk kehebatan, sebaliknya sebagai medan menguji kemampuan qari serta qariah menyampaikan bacaan ayat suci al-Quran dengan tajwid yang betul dan secara berlagu.

Johan Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007 kategori terbuka, Amran Abdullah, 44, berkata menyertai tilawah juga dikira sebagai ibadat dan cara berdakwah untuk menggalakkan orang ramai supaya belajar ilmu membaca al-Quran dengan betul.

“Jangan lihat pada hadiah ditawarkan tetapi peluang yang disediakan kerana kita mungkin boleh membaca tetapi sejauh mana ilmu yang kita ada. Majlis tilawah adalah antara medan untuk kita menguji kemahiran serta ilmu yang dimiliki.

“Selain memberi peluang kepada saudara baru, Majlis Tilawah Saudara Kita 2007 juga adalah cabaran kepada orang lama dan orang baru sama ada yang baru memeluk Islam atau dilahirkan Islam untuk menilai diri mereka,” katanya.

Katanya, walaupun sudah banyak menyertai tilawah al-Quran sama ada pada peringkat agensi, daerah dan wilayah, beliau masih mahu terus belajar dengan mereka yang pakar dalam bidang pembacaan al-Quran untuk meningkatkan mutu bacaan.

Amran yang bertugas sebagai Inspektor Penjara di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang, berkata ini adalah pembabitan kali kedua beliau pada Majlis Tilawah Saudara Kita 2007 dan tidak menyangka akan menjadi johan.

Sambil melahirkan kesyukuran, beliau berkata, tuah yang menyebelahinya kali ini adalah berkat kesungguhannya sentiasa berlatih dan hasil pembabitan dalam majlis tilawah peringkat daerah yang diadakan baru-baru ini.

Beliau yang mewakili daerah Seremban mendapat tempat ketiga pada majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Negeri Sembilan yang diadakan bagi mencari wakil qari dan qariah negeri pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Melaka, baru-baru ini.

Amran yang mendapat tunjuk ajar daripada Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Seremban (MAIS), Samsuddin Abdullah yang juga bekas qari dan hakim lagu dari Negeri Sembilan berkata, belajar al-Quran perlu berguru.

Beliau berkata, mereka yang ingin belajar al-Quran juga perlu bijak memilih guru yang benar-benar layak kerana membaca al-Quran dengan betul akan mendapat ganjaran pahala dan jika tersalah baca boleh mendatangkan dosa.

“Cadangan saya kepada saudara baru atau mereka yang ingin belajar al-Quran supaya belajar dengan guru yang layak. Membaca al-Quran mempunyai tertib tertentu, bukan main baca atau baca ala kadar saja,” katanya.

Sementara itu, peserta dari Perak, Leha Itam, 16, yang diumumkan sebagai johan qariah kategori terbuka melahirkan kesyukuran kerana dapat menyampaikan bacaan dengan baik dalam percubaan kali pertama menyertai Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007.

Murid Tingkatan Empat Sekolah Agama Rakyat Nurul Hidayah Kampung Kenang, Sungai Siput, Perak itu berterima kasih di atas sokongan dan bimbingan yang diberikan guru sekolah serta keluarga.

Beliau yang mempelajari al-Quran sejak kecil berharap pembabitan dalam tilawah al-Quran akan menarik minat remaja saudara baru untuk mendalami ilmu al-Quran dan meramaikan lagi jumlah qariah yang mampu menyampaikan bacaan dengan baik.

“Selain minat, saya juga kagum dengan dua rakan iaitu Yusni dan Atirah yang boleh membaca al-Quran secara berlagu dengan bagus sekali. Saya ingin setanding mereka dan untuk itu saya akan belajar bersungguh-sungguh,” katanya yang bercita-cita menjadi pendakwah.

Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007 anjuran Nusantara Gems Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Johan qari dan qariah kategori terbuka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000, pakej umrah dan piala pusingan Sultan Ahmad Shah serta piala pusingan Sultanah Kalsom. Hadiah disampaikan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid,

Naib johan dan tempat ketiga qari kategori terbuka disandang peserta dari Kelantan, Mohd Shahrul Nizam Jerry dan Ahmad Rizal Fauzi. Naib johan menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan tempat ketiga menerima wang tunai RM3,000.

Johan qariah kategori terbuka menjadi milik peserta dari Perak, Leha Itam; naib johan, Rabiatul Adawiyah dan tempat ketiga, Salemi @ Lim Eng Mui Abdullah.

Johan qari kategori millenium ialah peserta dari Pahang, Joha Achoi; naib johan, Mohd Assamarkandhi Lee Abdullah dan tempat ketiga, Ahmad Rizal Fauzi.

Johan qariah kategori millenium disandang peserta dari Indonesia, Nurida Labora, naib johan menjadi milik Nur Athirah Elsic Jian dan tempat ketiga, Nur Jannah Fatro.

Johan qari dan qariah kategori millenium masing-masing menerima hadiah piala pusingan Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor, wang tunai RM5,000 dan tiket umrah. Naib johan menerima wang tunai RM3,000 dan tempat ketiga, RM1,000.

Bagi kategori orang kurang upaya (OKU), johan tahun lalu, Muhammad Lee Abdullah mengekalkan kejuaraan buat kali kedua. Beliau menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan piala pusingan.

Buat kali pertama, penganjur memperkenalkan anugerah Tokoh Saudara Baru bagi menghargai sumbangan mereka yang banyak berkorban menyebarkan syiar Islam di kalangan saudara yang baru memeluk Islam.

Hadiah Tokoh Saudara Baru diberi kepada Perunding Latihan, Muhammad Fitri Abdullah, 44, dan sukarelawan, Ani Kim Abdullah, 51.

Kesungguhan peserta wajar dipuji

KESUNGGUHAN serta semangat saudara baru mempelajari dan menghayati ilmu membaca al-Quran terserlah pada Majlis Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007 yang berlangsung pada 28 dan 29 Ogos di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Penyertaan kira-kira 120 peserta terdiri daripada qari dan qariah membuktikan saudara baru juga berminat untuk mempamerkan kebolehan mereka mengalunkan ayat suci al-Quran untuk diuji tahap kemampuan mereka.

Majlis Tilawah Saudara Kita 2007 yang masuk kali ketiga dianjurkan Nusantara Gems Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Raja Rezza Shah, berkata penganjuran majlis tilawah al-Quran khusus untuk saudara baru bertujuan memberi peluang mereka mempamerkan kebolehan menguasai ilmu membaca al-Quran.

Beliau berkata, majlis tilawah yang mula diperkenalkan tiga tahun lalu itu diteruskan kerana tanggungjawab memenuhi permintaan saudara baru supaya diberi pendedahan dan peluang menguji bacaan mereka dalam satu majlis besar yang disertai ramai peserta.

Katanya, majlis itu juga secara tidak langsung menggalakkan saudara baru yang baru berjinak dengan al-Quran untuk mempertingkat mutu bacaan dengan menghadiri kelas al-Quran dan mendapatkan khidmat guru yang mahir.

“Inilah objektif utama penganjuran majlis tilawah ini tiga tahun lalu. Melihat kepada sambutan serta semangat yang ditunjukkan daripada tahun pertama, kedua dan tahun ini, saya rasa seolah-olah sudah menjadi tanggungjawab untuk meneruskan majlis tilawah untuk saudara baru.

“Saya bersyukur diberi kemampuan untuk mengadakan majlis besar bagi masyarakat saudara baru dan berharap aspirasi saya menggalakkan lagi saudara kita mendekati serta menguasai ilmu pembacaan al-Quran mendapat sokongan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, tidak dinafikan sukar untuk mendapat tajaan bagi menganjurkan majlis tilawah al-Quran untuk saudara baru itu tetapi tetap berazam meneruskan usaha sebagai sumbangan kepada saudara seagama.

Bagaimanapun, beliau berharap supaya lebih banyak pihak tampil menyumbang dan menyokong usaha memartabatkan ilmu al-Quran terutama kepada mereka yang baru memeluk Islam serta berminat mendalami ilmu al-Quran.

Majlis penyampaian hadiah Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007 diadakan malam Isnin lalu di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) diserikan dengan keberangkatan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Hadir sama, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung bersama Majlis Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007.

Tiga kategori dipertandingkan iaitu kategori terbuka bagi mereka yang memeluk Islam sebelum 2002, kategori millenium (untuk saudara baru yang memeluk Islam pada 2002 hingga 2007) dan kategori golongan kurang upaya (OKU) yang diperkenalkan tahun lalu untuk peserta cacat penglihatan. Kategori lain turut dipertandingkan ialah azan untuk kanak-kanak dan remaja.

Raja Rezza berkata, beliau juga bangga kerana berjaya menarik minat golongan cacat penglihatan untuk menyertai tilawah kerana di sebalik kekurangan itu mereka mempunyai keazaman kuat mempelajari kaedah membaca al-Quran dengan tajwid yang betul dan berlagu.

Katanya, semangat golongan istimewa itu sewajarnya menyedarkan mereka yang celik untuk bersama membantu dan sekali gus berkongsi semangat belajar al-Quran terutama di kalangan generasi muda hari ini.

“Jika mereka yang cacat penglihatan boleh membaca dengan baik, pasti kita yang dapat melihat mempunyai kelebihan menguasai ilmu itu dengan mudah. Sewajarnya kita semua berkongsi semangat mereka,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini jawatankuasa penganjur memperkenalkan Anugerah Tokoh Mualaf bagi menghargai pengorbanan serta sumbangan mereka dalam menyebarkan syiar Islam di kalangan saudara baru serta masyarakat.

Bagi anugerah itu, dua tokoh lelaki dan wanita yang terbabit secara aktif dalam aktiviti dakwah memberi kefahaman serta mendalami Islam akan diberi pengiktirafan di atas usaha mereka itu. Tokoh Mualaf menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi.

“Bagi saya sudah tiba masanya kita menghargai usaha yang dilakukan saudara baru kerana mereka juga sebenarnya baru saja mengenali Islam tetapi tetap tidak melupakan saudara lain yang baru hendak mendalami Islam.

“Sewajarnya usaha mereka beramal membawa saudara baru ke jalan yang diredai Allah diberi pengiktirafan. Bukan untuk mereka saja, tetapi pengiktirafan ini untuk semua pihak yang melakukan kerja amal demi agama,” katanya.

Orang Asli johan tilawah
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

JIKA sebelum ini, dia kekok membaca al-Quran, tetapi berkat kegigihannya belajar tanpa mengenal malu dan jemu, dia kini mampu mengalunkan ayat suci al-Quran dengan baik dan lancar.

Amran Abdullah, 44, bangga dengan usahanya malah dipilih sebagai johan qari kategori terbuka Majlis Tilawah al-Quran Saudara Kita 2007, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Amran yang menganut Islam kira-kira 15 tahun lalu berketurunan Orang Asli suku Temuan berkata, kemenangan itu amat bermakna bagi diri dan keluarganya, malah menjadi pembakar semangat untuk meraih kejayaan pada masa akan datang.

“Ini majlis kali kedua saya sertai dan kali pertama tahun lalu saya langsung tidak mendapat tempat, tetapi saya tidak berputus asa, malah belajar lagi untuk mengelokkan mutu bacaan.

“Saya belajar daripada guru berkelayakan di Masjid Negeri, Seremban, termasuk Samsudin Abdullah dan dia banyak memberikan tunjuk ajar cara mengalunkan ayat suci dengan baik,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai pegawai penjara berpangkat Inspektor di Kajang, Selangor tinggal di Seremban bersama isteri dan lima anaknya berusia dua hingga 20 tahun.

Kemenangannya membolehkan dia membawa pulang piala pusingan Sultan Ahmad Shah dan wang tunai RM10,000 selain tiket pergi balik mengerjakan umrah dan hadiah iringan lain.

Naib johan kategori itu ialah Mohd Shahrul Nizam Jerry dan tempat ketiga Ahmad Rizal Fauzi, masing-masing menerima piala, hadiah iringan dan wang tunai RM5,000 serta RM3,000.

Johan kategori qariah terbuka ialah Leha Itam, menerima piala pusingan Sultanah Hajjah Kalsom, wang tunai RM10,000 dan tiket pergi balik umrah, manakala tempat kedua Rabiatul Adawiyah dan ketiga Salemi@ Lim Eng Mui Abdullah.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Raja Perempuan, Tuanku Tengku Fauziah Al-Marhum Tengku Abdul Rashid hadir ke majlis itu.

Turut hadir, Raja Puan Muda Perak, Nor Mahani Raja Shahar Shah. Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung bersama majlis itu hadir memberikan ucapan.

Bagi kategori millenium yang menawarkan piala pusingan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor, di samping tiket umrah dan wang tunai RM5,000 setiap kategori dimenangi Joha Achoi (qari) dan Nurida Lobara (qariah).

Tempat kedua qari ialah Mohd Assamarkandhi Lee Abdullah dan ketiga Ahmad Rizal Fauzi, manakala Nur Athirah Elsic Jian dan Nur Jannah Fatro masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga bahagian qariah kategori itu.

Muhamad Lee Abdullah yang cacat penglihatan mengungguli tilawah kategori orang kurang upaya (OKU) bagi kali kedua.

Sementara itu, Nurida, 28, berkata, kejayaannya menjadi perangsang untuk menjadi seorang yang lebih bersemangat dan cekal sebagai Muslim.

“Ini kali pertama saya menyertai majlis tilawah selepas menganut Islam kira-kira lima tahun lalu,” katanya yang berasal daripada keluarga Kristian, dari Medan, Indonesia.

Dia menganut Islam melalui Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 2002 dan mempelajari al-Quran sejak tahun 2004.

Bagi kategori azan remaja dimenangi Rozaidi Rosman, manakala azan putera, Hassan Ghani Abdullah.

Kali ini jawatankuasa majlis tilawah julung kali mengadakan Anugerah Penghargaan Saudara Baru dan penerimanya ialah Muhammad Fitri Abdullah serta Ani Kim Abdullah.

Majlis Tilawah al-Quran Saudara Kita dianjurkan Nusantara Gems Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Islamic Outreach-Abim, disokong Yayasan al-Bukhari, Puncak Niaga dan IBEX Technology.


Friday, 27-Jul-2007 06:37 Email | Share | | Bookmark
International Islamic Fair (27-29 July 2007)

 
Jemputlah dtg beramai2 ke International Islamic Fair (27-29 July 2007) di PWTC...

Adawiah & Danial berada di booth SABA ISLAMIC MEDIA...




Trade Exhibition Brochure
http://www.iif4ummah.com/brochureiif.pdf

Conference Brochure
http://www.iif4ummah.com/conference.pdf

Dinner Concert (Sound of Islam)
http://www.iif4ummah.com/concert.pdf



Main Organiser:
SABA Islamic Media Sdn Bhd
is a well respected name locally and abroad,
in the islamic media production, promotion, & distribution.

Co-organiser:

Islamic Information & Services Foundation (IIS) is a non-profit da'wah organisation dedicated to explaining Islam to all.

More info at ---> http://www.iif4ummah.com/main.html


Tuesday, 26-Jun-2007 06:03 Email | Share | | Bookmark
Special Entry for Izan & Amir - Part II

 
 
 
View all 30 photos...
From www.seindahwajah.com & Izan's Friendster...



Tuesday, 5-Jun-2007 03:11 Email | Share | | Bookmark
From My Brother

 
 
 
View all 21 photos...
From E-eye Photography ---> http://engku.fotopages.com



Thursday, 17-May-2007 03:49 Email | Share | | Bookmark
Artikel di Utusan Malaysia Hari Ini...

 
 
Daniel rahsiakan pengislaman selama 10 tahun


PASANGAN IDEAL...Divesh Kumar Daniel Kakulal dan isteri meraih kemenangan hadiah utama program ‘Cari Menantu’ yang diraikan pada majlis persandingan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, baru-baru ini.
--------------------------------------------------------------------------------

Di zaman persekolahannya, para pelajar Melayu menjadi pilihan Divesh Kumar Daniel Kakulal, 28, untuk belajar dan mentelaah ilmu pengetahuan.

Pergaulan mereka bukan setakat itu sahaja malah rutin harian yang dijalankan seolah seperti adik-beradik yang sukar dipisahkan. Boleh dikatakan di mana ada rakan Melayu sekelasnya, di situ mesti ada Daniel.

Malah persahabatan yang wujud itu tidak pernah membuatkan Daniel merasa tersisih. Sebaliknya, keakraban itu merupakan satu hikmah membawa pengislaman dirinya untuk memahami ajaran Islam dengan lebih mendalam.

Setiap kali waktu pelajaran Pendidikan Moral diajarkan, Daniel akan membawa dirinya mengikuti kelas Agama Islam bersama dengan rakan-rakan Melayu. Ketika itu tiada tentangan daripada guru agama yang mengajar malahan memberi galakan kepada Daniel untuk mempelajari ilmu itu. Namun hatinya masih belum terdetik untuk berbicara panjang mengenai Islam.

Namun, sokongan, pandangan serta nasihat abang dan kakak yang sudah sekian lama memeluk Islam menjadi pembakar semangat untuk anak muda ini menjadi Muslim sejati dan memilih agama ini sebagai pegangan hidup.

“Bayangkan saya merahsiakan perkara ini hampir 10 tahun daripada ibu. Namun akhirnya diketahui mengenai pengislaman saya ketika dimaklumkan oleh salah seorang jiran tetangga mengenai saya melalui penyertaan dalam sebuah program rancangan realiti iaitu ‘Cari Menantu’ dengan tertera menggunakan nama Islam pada episod yang kedua.

“Ketika itu, ibu saya kurang senang dengan berita tersebut dan berlaku perselisihan faham antara saya dan ibu. Saya tidak dibenarkan pulang ke rumah lalu saya menetap di rumah abang saya. Namun naluri sebagai anak terhadap ibu tersayang membuatkan diri saya terus beriltizam dan berusaha untuk bersemuka dan menerangkan mengenai tindakan saya ini,” jelasnya.

Tambah Daniel, tujuan sebenar merahsiakan dalam tempoh yang lama ini kerana tidak mahu menyakiti hati ibu.

Walaupun memeluk Islam dengan kerelaan hati tetapi beliau memahami perasaan seorang ibu yang mudah tersinggung dan kecil hati lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan soal agama.

“Ibu adalah orang yang paling saya sayangi dan hormati di dunia ini. Namun kehendak saya memilih untuk mendalami agama Islam membuatkan saya serba salah untuk mengatakan perkara yang sebenar.

“Namun akhirnya Tuhan memberi hidayah setelah saya menyertai program ‘Cari Menantu’,” jelasnya.

Kata Daniel, selepas menyertai program realiti itu, dia berasakan ia adalah masa yang paling sesuai untuk menyuarakan rahsia yang terbuku di hati kepada ibu.

“Alhamdulillah program ‘Cari Menantu’ telah menyatukan hati saya bersama ibu tercinta dan atas alasan itu juga akhirnya masalah saya dapat diselesaikan.

“Ibu menerima saya kembali dan pada masa yang sama menerima isteri saya, Engku Rabaal Adawiyah sebagai menantu,” tambahnya.

Daniel yang merupakan penceramah bebas di Yayasan Perkhidmatan Informasi Islam (IISF) dan Pegawai Pemasaran, di Islamic Sabha Group diumumkan sebagai pemenang rancangan ‘Cari Menantu’ bersama pasangannya. Sekali gus menjadi peserta pertama yang mengukir nama dalam program realiti istimewa itu.

Daripada ratusan pasangan semasa uji bakat diadakan Semenanjung Malaysia, 10 pasangan telah dipilih dan tiga telah dipilih sehingga ke peringkat akhir.

Program realiti yang membimbing para peserta tentang kehidupan berumah tangga disiarkan selama 13 minggu berturut-turut bermula pada 28 Disember 2006, menerusi TV9.

Menurut Daniel, soalan-soalan yang ditimbulkan oleh para juri memang sukar dijawab tetapi dengan ilmu yang dipelajari daripada seorang ustaz dan abangnya, beliau dapat menjawab dengan baik.

“Saya dan isteri membuat persiapan awal dari segi emosi terutama mengenai soalan-soalan fikah. Ia juga menguji daripada persoalan agama sehingga kepada penampilan diri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Daniel dan isterinya bersyukur dengan kejayaan mereka serta menyifatkan ia sebagai rezeki dan hadiah perkahwinan.

“Kami menyertai program ini bukan untuk sasaran hadiah tetapi untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dalam konteks hubungan suami isteri dan alam rumahtangga,” katanya.

Sementara itu, Daniel berpendapat, kebanyakan masyarakat bukan Islam sering melihat perkara negatif tentang Islam.

“Persepsi masyarakat bukan Islam amat berbeza kerana ia melihat perilaku masalah melibatkan umat Islam yang melibatkan agama,” jelasnya.

Mengenai isu mualaf dan isu bin Abdullah, Daniel berkata, isu itu sebenarnya menyusahkan masyarakat bukan Islam untuk mendalami Islam. Ini kerana tanggapan mereka apabila masuk Islam bermakna kena tukar nama bapa kepada Abdullah.

“Bagi mereka, perkara ini seolah-olah terpaksa membuang ayah dan keluarga.

“Bagi saya dengan mengekalkan nama keluarga, saya yakin lebih ramai orang bukan Islam berminat untuk menganuti agama ini,” katanya.


http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm


[<<  <  1  2  3  [4]  5  6  7  8  9  >  >>]    [Archive]

© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net